Thursday 7 April 2011

Ke Arah Masyarakat "Celik Wang"

 Akhir-akhir ini, media massa dan media cetak sering menguar-uarkan isu ke arah masyarakat "Celik Wang". Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, wang didefinisikan sebagai alat pertukaran yang mempunyai harga (nilai) tertentu dan diakui sah. Wang juga dikenali sebagai duit. Pada zaman yang semakin maju ini, wang sering menjadi agenda utama dalam kehidupan manusia.



 Terdapat pelbagai cara untuk menuju ke arah masyarakat "Celik Wang". Bagi mencapai matlamat tersebut, pengguna yang lebih cenderung mengumpulkan hutang kad kredit haruslah dikurangkan. Hal ini kerana, pengguna mungkin tidak dapat membayar hutang kad kredit mereka yang banyak sehingga mereka boleh menjadi mangsa kepada pelbagai skim penipuan. Justeru, pengguna janganlah terlalu mudah percaya akan kata-kata orang, bak kata pepatah gar-gar kata gelegar, rasuk juga yang menahannya.

 Pengguna juga sering terperangkap dalam masalah kewangan. Maka, apakah tindakan yang boleh diambil oleh pengguna untuk menangani keadaan ini? Pertamanya, pengguna harus membuat komitmen untuk memperuntukkan masa dan usaha bagi menangani keadaan ini. Jangan tunggu sehingga keadaan sudah terlambat. Pengguna juga perlulah semaikan dalam diri sikap berhati-hati dalam membelanjakan sesuatu, bak kata pepatah cermat masa banyak, jimat masa sedikit.

 Selain itu, perkhidmatan perbankan Internet juga sering digunakan. Perbankan Internet membolehkan mereka menguruskan hal ehwal kewangan mereka dari rumah, tempat kerja atau di mana-mana sahaja di serata dunia. Perkhidmatan utama yang biasanya ditawarkan melalui perbankan Internet ialah menyemak baki akaun dan penyata akaun, membayar bil, kad kredit, pinjaman, premium insurans, membeli kredit pra-bayar telefon bimbit dan sebagainya.



 Pengguna sering tertanya-tanya adakah perkhidmatan perbankan Internet selamat digunakan? Seperti sistem-sistem lain, penggunaan perbankan Internet turut mengandung risiko. Walau bagaimanapun, tahap risiko telah diminimumkan melalui pemeriksaan sistem keselamatan secara berterusan oleh institusi perbankan dan sikap berhati-hati kita apabila menggunakan perkhidmatan perbankan Internet.



 Seorang yang menjalani hidup yang sederhana pun tidak akan mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan dengan selesa selepas bersara. Apabila mengambil kira pelbagai faktor seperti kenaikan harga, cukai dan sebanyak mana seorang biasa membelanjakan wang mereka, maka hanya sebahagian kecil sahaja wang yang ada untuk dibelanja apabila bersara. Oleh itu, mereka perlu mempunyai persiapan yang sistematik untuk persaraan mereka.

 Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010, secara purata, tahap celik wang rakyat Malaysia yang menghampiri umur persaraan adalah jauh lebih rendah, manakala sikap terhadap pengurusan kewangan juga didapati kurang memberangsangkan, berbanding dengan statistik bagi rakyat Malaysia daripada kumpulan umur lain.

 Walaupun seseorang itu bekerja dalam tempoh yang lama untuk membayar hutang-hutang mereka, namun mereka terpaksa menyimpan sebahagian daripada duit tersebut sebagai persiapan apabila bersara kelak. Apa yang membimbangkan ialah seseorang itu terpaksa hidup dalam serba kekurangan walaupun sudah mencapai usia tua, selain terpaksa menghadapi masalah lain dalam kehidupan mereka.

 Terdapat pelbagai perkara asas dalam merancang persaraan. Walau apa juga perancangan anda, anda hendaklah mengetahui kedudukan kewangan anda sekarang iaitu berapa banyak wang simpanan dan aset yang anda miliki sekarang? Berapakah pendapatan bulanan anda? Berapa tahun yang anda ada sehingga mencapai usia persaraan untuk mengumpul wang? dan lain-lain lagi.

 Selepas menganalisis aset dan tanggungan yang anda miliki sekarang, anggarkan berapa yang anda perlukan dan buat pengubahsuain berdasarkan kepada kadar inflasi sekarang. Kemudian anda perlu menetapkan usia persaraan anda-45, 55, 60, atau 65? Anda bolehlah mengira wang bulanan yang anda perlukan apabila bersara nanti.

 Persiapan anda untuk bersara hendaklah meliputi pengurangan hutang, peruntukan perbelanjaan, kepelbagaian pelaburan dan menjaga kesihatan tubuh badan dengan makanan yang seimbang serta aktiviti riadah.

 Terdapat pelbagai tip persiapan menghadapi persaraan. Antaranya ialah dengan bermula daripada awal. Lebih awal kita menyimpan duit, lebih banyak masa wang kita akan bertambah. Tetapkan masa yang diperlukan. Jadikan wang simpanan untuk persaraan sebagai keutamaan. Buat perancangan dan patuhi perancangan tersebut. Tetapkan matlamat bagi perancangan persaraan untuk diri anda sendiri.

  Seterusnya, rancang untuk keperluan jangka panjang. Anda perlu merancang untuk menghadapi ''kerugian bukan pasaran'', yang disebabkan oleh faktor seperti penjagaan kesihatan dan keperluan jangka panjang seperti menunaikan haji bagi orang beragama Islam.

 Selain itu, jangkaan hayat kita juga merupakan salah satu tip persiapan menghadapi persaraan. Jangka hayat purata rakyat Malaysia adalah 73 tahun. Daripada statistik ini kita dapat mensasarkan jangka hayat kehidupan kita. Pastikan keperluan kita akan meliputi jangkaan usia tersebut, walaupun sekiranya usia kita lebih panjang daripada apa yang kita jangkakan.

 Pada usia yang tua, kesihatan amat penting. Kos perubatan merupakan perbelanjaan utama yang boleh mengikis wang persaraan anda. Justeru, anda hendaklah merancang persaraan anda dengan baik.

 Konklusinya, terdapat  pelbagai cara ke arah masyarakat ''celik wang''. Semua pihak haruslah memainkan peranan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjadikan tahun 2011 sebagai tahun untuk mengutamakan komitmen bagi meningkatkan celik wang serta amalan kewangan kita. Keputusan kewangan yang lemah akan mengakibatkan hasil yang negatif.

AJK PERTANDINGAN BLOG PENGGUNA..

Penasihat: Puan Hajah Mazenah Binti Mohamed
Pengerusi: Encik Nazri Bin Mohamad
Naib Pengerusi 1: Puan Hajah Zakiah Zairani Binti Mat Zain
Naib Pengerusi 2: Tuan Haji Mohd Amin Bin Haji Hassan
Naib Pengerusi 3: Encik Mohd Shukri Bin Abu Bakar
Naib Pengerusi 4: Encik Abdul Halim Bin Omar
Setiausaha: Puan Rozida Binti Ab. Kadir
Ahli:
1) Puan Norizan Binti Hashim (GK Bahasa)
2) Encik Wan Kamarudin Bin Hussin (Guru ICT)


SELAMAT DATANG..!!

Assalamualaikum..
Selamat datang ke laman saya dan saya berharap esei saya ini dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada anda semua.

Terima kasih kerana sudi mengunjungi laman saya.

Sekian terima kasih.

Nurul_8 April 2011